Saturday, August 30, 2008

Surah An-Nur : 35

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمنِ الرَّحِيم

(ألله نُورُ السَّماوَاتِ والأرْضِِِ ) "Allah Pemberi Cahaya kepada langit dan bumi". Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a tentang firman Allah di atas iaitu; Allah yang memberi petunjuk kepada makhlukNya di langit dan di bumi. Manakala riwayat lain dari Ibnu Juraij berkata Mujahid dan Abdullah bin Abbas mengatakan tentang ayat di atas ; iaitu Allah yang mengatur urusan di langit dan di bumi, mengatur bintang-bintang, matahari dan bulan.


(مَثَلُ نُورِهِ) "Perumpamaan cahayaNya" bermaksud perumpamaan petunjukNya (cahayaNya) yang ada dalam hati orang mukmin. (كَمِشْكَاةٍ ) "Seperti sebuah lubang yang tak tembus". Dari Ibnu Abbas, Mujahid, Muhammad bin Ka’ab dan yang lain meriwayatkan; (مِشْكَاة) adalah tempat sumbu pada pelita.


(فِيها مِصْبَاحٌ) "Yang di dalamnya ada pelita besar". Ubay bin Ka’ab berkata, maksud (مِصْبَاح) ialah cahaya, iaitu al-Qur’an dan Iman yang terdapat di dalam hati orang mukmin.


(الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ) "Pelita itu di dalam kaca". Ubay bin Ka’ab dan para ulama lain meriwayatkannya sebagai perumpamaan hati bagi orang-orang mukmin"


(الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْ كَبٌ دُرِّيٌّ) "kaca itu seakan bintang (yang bercahaya ) seperti mutiara,"


(يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ) "yang dinyalakan (pelita) dengan minyak dari pohon yang mempunyai banyak berkahnya.


(زَيْتُونَةٍ)" iaitu pohon zaitun (dikhususkan oleh Allah dengan banyak manfaatnya).


(لاَشَرْقِيَّةٍ وَلاَغَرْبِيَّةٍ)" yang tumbuhnya tidak di sebelah timurnya dan tidak juga di sebelah baratnya." Abu Ja’afar ar Razi meriwayatkan dari Ubay bin Ka'ab berkenaan ayat ini: iaitu pohon zaitun yang hijau dan segar yang tidak terkena sinar matahari, malah dalam berkeadaan baik samada ketika matahari terbit maupun ketika matahari terbenam. Beliau menjelaskan dengan lebih lanjut lagi; demikianlah sifat orang Mukmin yang terpelihara dari segala ujian. Adakalanya dia tertimpa fitnah, namun Allah meneguhkan imannya. Seorang yang mukmin akan sentiasa berada dalam keadaan sifat-sifat berikut;(1) dia jujur dalam bicaranya, (2) dia adil dalam menghukum, (3) dia sabar jika ditimpa cubaan dan (4) dia bersyukur apabila mendapat nikmat.


(يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْتَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ) "iaitu yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api (yakni disebabkan kilauan minyaknya bercahaya walaupun tidak disentuh api)". Ayat di atas merupakan kiasan Allah dalam menyifatkan kejernihan dan keelokan minyaknya.


(نُورٌ عَلَى نُورٍ) "cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis)". Al 'Aufi meriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a bahawa maksud ayat di atas adalah iman bagi seorang hamba dan amalnya. Manakala Ubay bin Ka'ab berkata tentang ayat ini; ianya daripada lima cahaya; (1) perkataan orang beriman adalah cahaya. (2) amalnya adalah cahaya (3) tempat masuknya adalah cahaya (4) tempat keluarnya adalah cahaya (5) tempat kembalinya adalah cahaya pada Hari Kiamat iaitu Syurga.


(يَهْدِي اللّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَآءُ) "Allah membimbing kepada cahayaNya (iaitu kepada agama Islam) bagi siapa yang Dia kehendaki".


(وَيَضْرِبُ اللّهُ اْلأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍعَلِيْمٌ) "Dan Allah memperbuat (menjelaskan) perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" iaitu Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat hidayah dan siapa yang berhak disesatkan.

2 comments:

Anonymous said...

semoga AlQuran pegangan hidup kita

Hidayah said...

salam ukhwah
terus beramal